“UMI
nak masak apa hari ni?” Adawiyah menegur uminya yang sedang menyiang ikan keli.
Tok man nya pula sedang sibuk memotong bawang.
“Ni
hah, abah kamu beli ikan keli tadi, jadi umi ingat nak masak ikan keli masak
merah la. Dah lama tak makan. Kenapa?” Puan Mariam masih sibuk menyiang ikan
tanpa memandang Adawiyah yang sedang bertenggek di sebelahnya.
“Sedapnya
umi. Terliur la adik macam ni. Dah lama adik nak makan ikan keli ni. Kat KL tak
boleh makan sebab keluarga abang tak makan ikan keli ni. Diorang geli” Adu
Adawiyah.
“Kalu
nok make gak, mari la tulung tok ma ni. Tulung tumis bawe dulu biar cepat siap.
Nanti tok laki mung ngan abah mung nok make. Pukul berapo doh ni. (Kalau nak
makan, mari la tolong tok ma ni. Tolong tumis bawang dulu biar cepat siap.
Nanti suami kau dan abah kau nak makan. Pukul berapa dah ni.)” tok ma sudah
menyerahkan bawang yang sudah dikisarnya kepada Adawiyah untuk ditumis.
“Memang
masuk dapur nak tolong la. Kesian umi dengan tok ma buat kerja. Biar adik
tolong ya. Hari ni chef Adawiyah yang masak makanan untuk tengah hari ni. Nak
test skill la. Dah lama tak asah ni.” Adawiyah sudah menyising lengan bajunya.
“Dah
lama tak test skill? Adik tak pernah masak ke untuk Faris?” Puan Mariam
memandang anaknya. Tangan anaknya berhenti menyiang ikan yang ada di dalam
sinki.
Adawiyah
tersengih. Tertangkap sudah. Tu la, siapa suruh mulut tu becok sangat mengaku
yang tak pernah masak untuk suami.
“Bukan
tak nak masak umi tapi sebab adik kan kerja. Lagipun, rumah tu dah ada
pembantu. Jadi, adik tak masak la. Lagipun, mama tak bagi adik buat kerja-kerja
macam ni. Dia kata biar pembantu je yang buat.” Adawiyah menunduk. Habislah
dia. Confirm kena basuh dengan tok ma dan uminya.
“Hish,
budok-budok zame loni meme la. Mung tahu dok Adawiyah weh. Ore tino ni ngaji
setinggi mano pun keno masuk dapur jugok. Tok pehe la aku. Patut la ghama
budok-budok loni nikoh tok lamo. Cera-bera. (Hish, budak-budak zaman sekarang
ni memang la. Kau tahu tak Adawiyah oii. Orang perempuan ni belajar setinggi
mana pun kena masuk dapur juga. Tak faham aku. Patut la ramai budak-budak
sekarang kahwin tak lama. Bercerai-berai.)” Tok ma sudha pun membuka kitab
ceramahnya yang memang Adawiyah tahu takkan habis sehinggalah petang Nanti.
Adawiyah sudah mula membuat muka.
“Tengok
tu. Tok ma nasihat bukannya nak dengar. Adik, apa yang tok ma cakap tu betul.
Sepatutnya adik kena memasak untuk Faris. Memang la rumah Faris tu ada pembantu
tapi, sebagai isteri adik kena la siapkan makanan untuk dia setiap hari. Air
tangan isteri tu kan pengikat kasih antara suami isteri. Kalau adik sibuk
sangat sekalipun paling tidak, adik siapkan air untuk dia minum sebelum pergi
kerja.” Nasihat Puan Mariam panjang lebar.
“Adik
faham umi. Ya, adik mengaku yang adik ni memang tak jalankan tanggungjawab adik
sebagai seorang isteri dengan betul. Adik tahu adik salah. Mulai hari ini, adik
janji yang adik akan siapkan makanan suami adik ya.” Adawiyah insaf.
Dia
mengaku, sebagai seorang isteri dia tidak melakukan tanggungjawabnya dengan
sempurna. Faris sekalipun tidak pernah merungut dan menerimanya seadanya.
Sepatutnya dia sedar semua tu. Memang benar dia seorang yang bekerjaya tetapi
diakuinya tanggungjawab sebagai seorang isteri merupakan keutamaannya
berbanding tanggungjawab sebagai seorang doktor namun tanggungjawab sebagai
doktor menuntutnya untuk lebih memberi perhatian kepada kerjanya berbanding
suaminya. Sepatutnya dia bersyukur kerana Faris seorang suami yang baik tetapi
dia boleh pula mencurigai suaminya.
“Adik,
umi dan tok ma bukan nak marah adik tapi kami nak adik sedar tanggungjawab
adik. Kalau suami tak kata apa-apa, bukan bermakna kita boleh buat tak tahu je.
Ingat, syurga isteri terletak di bawah tapak kaki suami. Dah la adik balik sini
sebab merajuk dengan dia, tapi dia tak marah pun. Dia siap datang nak pujuk
adik. Umi tak nak tau adik buat macam ni lagi. Cukuplah sekali ni je. Lain
kali, jadikan ini sebagai pengajaran. Jangan asyik nak lari dari masalah. Adik
fikir dan nampak salah Faris je, salah adik yang tak jalankan tanggungjawab
adik yang satu tu, adik tak nampak.” Adawiyah mengangguk tanda memahami nasihat
uminya.
“Doh
la tu Yam wei. Dia pehe doh tu. Sambung la sie ike tu. Hari ni kito suruh dio
masok. Biar dio masok ko tok laki dio. (Dah la tu Yam oii. Dia faham dah tu.
Sambung la siang ikan tu. Hari ni kita suruh dia masak. Biar dia masak untuk
suami dia.)” Tok ma menyebelahi Adawiyah. Adawiyah pula hanya mengangguk-angguk
tanda setuju.
Puan
Mariam mengeluh dan kembali menyambung menyiang ikan. Walaubagaimanapun, dia
masih tidak berhenti menasihati Adawiyah.
“Yalah
mak. Dah, pergilah masak. Kejap lagi abah dan Faris balik. Biasanya waktu macam
ni dah nak habis dah khutbah Jumaat.”
“Okey
bos.” Adawiyah tersenyum sambil menabik kepada uminya. Dia nekad mulai hari ini
dia akan menjadi seorang isteri yang bertanggungjawab seperti uminya. Dia juga
tidak akan sekali-kali meragui kejujuran suaminya lagi. Itu tekadnya.
“WAH…
Sedapnya bau lauk hari ni. Siapa yang masak ni?” Encik Sulaiman mencium bau
makanan yang dihidangkan di atas meja. Ikan keli masak merah, singgang ikan,
kangkung goreng belacan, ulam raja, kerabu betik dan budu berjaya menaikkan
selera Encik Sulaiman.
“Anak
bongsu abang la. Dia masak special untuk abah dan suami dia. Duduklah.” Puan
Mariam menarik kerusi untuk suaminya manakala Adawiyah menarik kerusi untuk
suaminya.
“Thanks
sayang.” Faris tersenyum kepada isterinya.
Pertama
kali dia dapat merasakan air tangan isterinya tidak sabar pula dia ingin
menjamah hidangan yang ada di hadapan. Matanya tertancap pada satu hidangan yang berada betul-betul di
hadapannya. Direnung lauk itu dengan pelik.
‘Makanan
apa macam ni? Pelik je aku tengok ikan ni. Ikan apa ni? Tak pernah aku tengok
pun’ Faris mengerutkan dahinya. Dilihat uminya suidah menyedok makanan itu ke
dalam pinggan abah. Adawiyah pula baru sahaja selesai menyendukkan nasi ke
dalam pinggannya.
“Abang
nak lauk apa? Try lauk ni ya.” Adawiyah mencedok lauk yang dilihat Faris tadi.
Faris membulatkan matanya dan menggelengkan kepalanya kepada Adawiyah. Adawiyah
pula tidak memahami maksud suaminya. Adawiyah turut menggelengkan kepalanya
meminta penjelasan. Faris pula masih menggelengkan kepalanya. Adawiyah
mengerutkan dahinya kerana tidak memahami maksud suaminya.
“Ni
gapo pulok budok duo ore ni dok main geleng-geleng ni. Pening aku kelih. Make-make
la Parih weh. Adawiyah bubuh la lauk ko tok laki tu. (Ni apa pulak budak dua
orang ni dok main geleng-geleng ni. Pening aku tengok. Makan-makan la Faris oii.
Adawiyah bagi lauk kat suami tu.)” Adawiyah mengangguk. Diturutnya arahan
suaminya.
Lauk
yang menakutkan Faris itu akhirnya selamat juga berada di dalam pinggangnya.
Setelah membaca doa, semua orang mula makan. Faris pula hanya menguis-nguis
nasinya. Dia memerhati keluarga isterinya yang begitu selera makan lauk pelik yang
dilihatnya. Isterinya sendiri juga asyik menambah ikan pelik itu ke dalam
pinggannya. Faris hanya mampu memandang kerana dia tidak berani untuk makan
ikan itu. Sepanjang hayatnya, itulah kali pertama dia nampak ikan yang pelik
seperti itu. Dia rasa geli untuk mencuba makanan itu.
‘Laju
betul isteri aku makan. Sedap sangat ke? Hish, geli aku nak makan.’
“Parih,
bakpo tok make nyo? Lauk tok sedak ko tok make lauk kampung? Make lauk ore
putih jah ko? (Faris, kenapa tak makan? Lauk tak sedap ke tak makan lauk
kampung? Makan lauk orang putih je ke?)” Berderet-deret soalan tok ma kepada
Faris. Malangnya, sepatah pun apa yang ditanya tok ma itu tida difahami Faris.
“Hah?
Apa tok ma?” Adawiyah pula sudah ketawa melihat suaminya yang kebingungan.
Kesian pula melihat suaminya yang serba salah itu. Lupa pula dia yang suaminya
tidak pernah makan ikan keli. Patutlah suaminya menggelengkan kepala kepadanya
semasa dia meletakkan lauk ikan keli itu ke dalam pinggan suaminya.
“Payoh
weh kecek denge budok Kolo Lupo ni. Tok pehe sokmo. Oyak gak ko dio Man. Ore
putih panggil gapo tuh? Tra lik? Alik? Hish, tok reti aku. (Susah la cakap
dengan budak Kuala Lumpur ni. Asyik tak faham. Beritahu la kat dia Man. Orang
putih panggil apa tu? Tra lik? Alik? Hish, tak reti aku.)” Tok ma menggaru
kepalanya.
“Translate
tok ma.” Adawiyah membetulkan kata-kata tok ma nya sambil ketawa
terkekek-kekek.
“Ya
la mak. Tok ma tanya, kenapa tak makan? Lauk tak sedap ke?” Encik Sulaiman
menerangkan kepada menantunya.
“Eh,
tak adalah. Sedaplah abah. Siapa kata tak sedap pula.” Faris menjawab.
Dia
menggaul nasinya. Dicubitnya sedikit ikan keli itu. Dipandang Adawiyah meminta
simpati isterinya. Adawiyah pula hanya tersenyum sahaja. Sengaja dia ingin
mengenakan suaminya.
‘Biar
dia belajar makan ikan keli. Lain kali tak adalah asyik geli dengan ikan
ni.’ Detik Adawiyah dalam hati.
“Makanlah
Is. Apa tengok-tengok isteri tu? Nak suruh isteri suap ke?” Puan Mariam pula
bertanya.
Faris
menggeleng laju. Disuapnya juga ikan itu ke dalam mulutnya. Dipejamnya mata
rapat-rapat kerana takut akan termuntah apabila mengunyah ikan itu.
Perlahan-lahan Faris mengunyah ikan keli tetapi ketika dia mengunyah ikan itu,
dia terasa seperti makan ayam sahaja dan bukan ikan keli. Dia berbisik ke
telinga Adawiyah.
“Sayang, ikan apa ni? Kenapa rasa macam ayam?”
Adawiyah
turut berbisik kepada suaminya supaya tidak memalukan suaminya di hadapan
keluarganya. Nasib baik abang-abangnya tidak pulang ke kampung pada waktu itu,
kalau tidak pasti suaminya sudah diusik oleh abang-abangnya kerana tidak
mengenali ikan keli.
“Ikan
keli la abang. Memang ikan ni rasa macam ni. Sedap kan?”
Faris
mengangguk. Nasi yang hanya dikuis tadi habis licin dimakannya. Dia makan sehingga
tiga pinggan. Belum pernah dia makan ikan keli tetapi tidak disangka ikan keli
yang dikatakan tidak sedap dan rasa seperti longkang oleh keluarganya
sebenarnya sangat sedap. Faris langsung tidak menyentuh lauk lain. Dia hanya
makan nasi bersama ikan keli masak merah sahaja. Adawiyah hanya tersenyum
setiap kali suaminya memintanya untuk menambah nasi. Siapa sangka Faris yang
berlidah Inggeris itu boleh makan makanan kampung.
Best 3x nak lagi
ReplyDelete